Oleh Ustaz Mustazah Bahari
Wang, harta dan segala kebendaan duniawi ini merupakan keperluan hidup bagi manusia. Kehidupan duniawi ini tidak akan sempurna dan sejahtera tanpa harta. Sudah menjadi lumrah alam ini untuk manusia mempunyai harta bagi meneruskan kehidupannya dengan selamat dan sejahtera.
Sejak dahulu lagi persoalan harta ini telah menjadi isu penting dalam kehidupan manusia. Lihatlah dalam al-Quran, berapa banyak ayat yang menyebut tentang harta. Begitu juga dalam hadis-hadis Nabi s.a.w banyak juga baginda memberi panduan mengenai harta. Seterusnya dalam kehidupan para sahabat Nabi s.a.w yang digambarkan mengenai cara kehidupan yang berkaitan dengan harta.
Dalam membahaskan tentang harta ini, banyak contoh tauladan yang telah dipaparkan untuk memberi maklumat mengenai kepentingan dan kebaikan harta, dan sebaliknya juga harta boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan seperti yang digambarkan dalam al-Quran mengenai Qarun.
Bila berbicara tentang harta, manusia akan terdorong untuk lebih peka dan bersungguh sungguh terhadapnya. Bila datang kegawatan ekonomi manusia juga akan bingung dan resah kerana khuatir kehabisan harta untuk meneruskan kehidupan. Itulah lumrahnya.
Apabila harta sudah menjadi salah satu aspek kehidupan yang tidak boleh dihindarkan, maka di sini perlu kepada system pengurusan dan kawalan yang baik terhadap harta yang dimiliki.
Di antara contoh pengurusan harta yang baik adalah seperti yang digambarkan dalam al-Quran. Panduan yang diberikan adalah terbaik untuk manusia menguruskan harta untuk menghasilkan kehidupan yang sempurna dan sejahtera. Di antara panduan al-Quran mengenai pengurusan harta ialah seperti berikut:
- Harta yang dikurniakan adalah hak milik Allah sepenuhnya yang diamanahkan kepada manusia untuk menguruskannya dengan baik agar terlaksana tugasan memakmurkan bumi ini dengan sempurna. Di antara tugasan manusia di bumi ini ialah menghulurkan harta yang berlebihan kepada yang memerlukan menerusi ibadah zakat dan sedekah. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Nur ayat ke 33 yang bermaksud, “… dan berikanlah kepada mereka sebahagian dari harta Allah yang dikurniakan kepada kamu..”
- Harta yang dikurniakan tidak sepatutnya dinikmati oleh sekelompok manusia sahaja tanpa mempedulikan kelompok yang kurang bernasib baik. Sebagai contoh yang diberikan dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat ke 7 mengenai pembahagian harta rampasan perang, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud, “… supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang orang kaya sahaja di antara kamu…” Ayat ini memberi panduan kepada manusia agar jangan bersifat tamak dengan harta yang ada pada mereka. Dalam surah al-Qasas juga menceritakan bagaimana orang tamak dan sombong yang bernama Qarun mendapat bencana atas sifatnya yang buruk itu.
- Dalam mengurus harta yang berkat juga perlu dielakkan pemborosan dalam mengeluarkan dan membelanjakannya. Hal ini berlandaskan firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat ke 31 yang bermaksud, “Dan makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.”
- Kelakuan jujur ketika bermuamalah dengan manusia lain agar tidak menzalimi mana mana pihak sehingga memakan harta orang lain. Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat ke 188 yang bermaksud, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil…”
- Tidak menjerumuskan harta kepada pengurusan secara riba’ kerana amalan riba adalah amalan jahiliyyah yang tidak mendatangkan keadilan kepada semua pihak. Allah s.w.t telah mengharamkan riba dalam surah Ali-Imran ayat ke 130 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan.”
Seterusnya Nabi s.a.w juga memberi panduan yang tersusun kepada umatnya agar harta yang dikurniakan kepada mereka dapat diuruskan dengan baik untuk mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Sesungguhnya harta ini manis dan indah, maka sesiapa yang mengambilnya dengan hak, akan diberkati baginya dan sesiapa yang mengambilnya secara membangga diri maka dia tidak akan diberkati. Bagi orang itu umpama seorang yang makan tetapi tidak kenyang, dan tangan yang memberi adalah lebih baik dari menerima.”
Hadis ini menegaskan bahawa keberkatan dalam harta terletak kepada cara mengambil dan menguruskannya secara hak.
Sebagai umat Islam yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w sebagai panduan hidup sudah tentu lebih bersedia untuk menguruskan harta dengan lebih teliti dan adil.
Islam juga sebagai syariat yang sempurna kepada seluruh manusia telah meletakkan garis pandu dan matlamat untuk kepentingan manusia. Di antara matlamat syariat Islam selain dari menjaga jiwa, keturunan, akal dan kehormatan diri ialah untuk menjaga harta manusia dari dicerobohi dan disalah gunakan. Maka jelaslah konsep mengurus harta dalam Islam adalah mencapai matlamat keadilan bagi semua. Adil kepada Allah, kepada diri sendiri, kepada manusia lain, dan seterusnya kepada alam semesta ini.
Janganlah pula harta yang bukan milik sepenuhnya yang dikurniakan kepada manusia menjadikan dia lebih zalim dan tidak berakhlak mulia. Janganlah ia menjadi bahan yang dijadikan untuk bertelagah dan membunuh sesama manusia di dunia ini. Ingatlah bahawa setiap nikmat yang dikurniakan pasti akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Takasur ayat ke 8 yang bermaksud, “Seterusnya kamu akan dipersoalkan tentang nikmat yang telah dikurniakan kepada kamu (dahulu di dunia).”
Maka bertakwalah kita terhadap harta yang ada pada kita agar ianya dapat memberikan keberkatan kepada kita dan selanjutnya pada hari kiamat kelak dapatlah kita menjawab soalan Allah s.w.t mengenai harta yang dikurniakan kepada kita di dunia ini dengan jawaban yang baik dan sempurna insyaAllah.
No comments:
Post a Comment